Sunday, April 19, 2009

'Raja berada di atas politik'


















SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah menyampaikan titahnya pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran sempena keputeraan baginda ke-81 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.
KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam menegaskan, Raja berada di atas politik dan tidak boleh berdebat secara terbuka bagi menjawab serta memberi penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kumpulan politik tertentu.

Bagaimanapun, titah baginda, tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi Raja dengan menyemai rasa benci rakyat umpama 'menyalakan api dalam sekam'' yang amat berbahaya serta boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Bertitah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah, semalam, Sultan Azlan Shah kesal dengan perbuatan kuasa politik mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian.

"Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara. Betapa kumpulan politik tertentu berasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan.

"Betapa pula beberapa individu politik yang berasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda.

Sultan Perak berpendapat negara kini sudah terlalu berlebihan berpolitik hingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan menjejaskan imej negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga. Rakyat biasa akan menjadi mangsa, terpaksa bergelut untuk memenuhi keperluan hidup harian," titah baginda.

Sambil meminta pemimpin yang mewakili kumpulan politik berbeza mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama demi kepentingan rakyat, baginda turut menjelaskan raja berperlembagaan mempunyai tiga hak, iaitu untuk menyampaikan nasihat atau pandangan, memberi galakan atau dorongan dan memberi peringatan atau teguran.

Baginda bertitah, raja bukannya buta, pekak atau bisu kerana segala perkara yang berlaku adalah dalam penglihatan, pendengaran dan pertuturan mereka. Adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan raja pemerintah itu sama seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.

"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab lebih luas dalam memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi.

"Raja pemerintah adalah sebahagian daripada institusi negara yang diperuntuk dalam kuasa budi bicara oleh Perlembagaan, untuk melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang, demi memelihara ketenteraman awam, kestabilan negara, kepentingan umum dan kebajikan warga terus terpelihara, di samping memastikan perkara pokok dan fundamental mengenai agama Islam dan orang Melayu kekal dipertahan," tegas baginda.

Sultan Azlan Shah bertitah, berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Raja mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja serta agama Islam, bahasa Melayu dan kepentingan sah kaum lain.

"Perkara ini adalah asas persefahaman yang sudah tercapai dan menjadi resipi kejayaan terbentuknya negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah baginda.


No comments:

Post a Comment