PENGUASA Sains Kesihatan (HSA) menasihatkan orang ramai jangan mengambil produk kesihatan tradisional berjenama 'Air Ikan Haruan' kerana ia disahkan mengandungi sejenis ubat yang boleh memudaratkan kesihatan, dexamethasone.
Nasihat itu menyusuli kes seorang wanita berusia 60-an tahun mengalami masalah seperti lemah badan, lesu, sakit seluruh badan, hilang selera makan dan turun berat badan setelah berhenti minum produk itu.
Beliau telah mengambil produk itu bagi melegakan sakit badan lebih setahun. Ia dibelinya di luar negara.
Menurut HSA, gejala yang dialami wanita itu adalah kesan sampingan pengambilan dexamethasone, yang sering digunakan bagi merawat penyakit radang, seperti artritis.
'Penggunaan dexamethasone tanpa pengawasan dan secara berpanjangan sering dikaitkan dengan degupan jantung tidak tetap; kenaikan tekanan darah, kolesterol dan kadar gula dalam darah; haid tidak tetap; kerosakan otot dan tulang; sawan dan kecelaruan mental dan murung,' kata satu kenyataan HSA semalam.
'Air Ikan Haruan', yang dipakej dalam botol kecil, diedar oleh sebuah syarikat di Perak dan dijual di Malaysia pada harga RM12 ($5).
Labelnya mendakwa ia boleh membersihkan darah, melegakan gatal-gatal pada kulit dan batuk kering, menyembuhkan luka dalaman, menguatkan badan dan baik bagi ibu baru bersalin.
Ramuan produk itu dicatatkan mengandungi ikan haruan, rempah ratus, pasak bumi, tongkat ali, lidah buaya, madu dan halia.
Tetapi, ia tidak mengisytiharkan dexamethasone dalam ramuannya.
Tinjauan Berita Harian di beberapa kedai ubat tradisional di Joo Chiat Complex semalam mendapati kesemuanya tidak menjual produk itu.
Seorang penjual yang tidak mahu namanya disiar berkata beliau berhenti menjual produk itu lebih dua tahun lalu setelah HSA melarang penjualannya di sini.
'Semasa dijual dulu ia amat laris. Ramai pengguna berkata ia bagus dan serasi. Saya rasa produk ini mula tercemar apabila timbul produk-produk air ikan haruan tiruan yang menyebabkan ramai orang jatuh sakit,' katanya.
Seorang suri rumah, Hajah Mariah Bujang, 59 tahun, yang pernah menggunakan produk itu berkata ia 'berkesan' namun beliau berhenti setelah melihat iparnya menunjukkan kesan sampingan setelah meminumnya.
'Mukanya mula sembab-sembab dan dia mengalami pelbagai penyakit. Padahal dia yang sarankan air ikan haruan itu pada saya,' katanya.
Friday, May 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment